1. Gelombang Kedua (2016 - 2020) ke arah mempercepat kemajuan pendidikan Malaysia
Dalam tempoh Gelombang 2, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan perubahan struktur sistem pendidikan negara untuk mempercepatkan perjalanan perubahan (rancangan untuk semua inisiatif akan bermula semasa Gelombang 1). Perancangan ini melibatkan pergerakan kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar kepada pakej kerjaya baharu, penstrukturan semula Kementerian, JPN dan PPD untuk menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang 1, dan memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang disemak semula dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.
Antaranya ialah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) semakan semula bagi meningkatkan standard kandungan dan pembelajaran setanding dengan standard antarabangsa. Pelaksanaan ini akan melibatkan penggabungan elemen maklum balas, penanda aras, dan dapatan menerusi ujian stress-testing yang menentukan kestabilan sistem yang dijalankan semasa Gelombang 1. KPM akan membangunkan kurikulum yang baharu menggunakan jumlah jam dalam tahun persekolahan sebagai titik permulaan dan mengeluarkan kandungan yang bukan keutamaan bagi mengelakkan kepadatan kurikulum. Selain itu, kemahiran dan kecekapan yang dikenal pasti sebagai penting dalam dunia global masa kini akan diterapkan sepenuhnya dalam kurikulum. Kementerian juga akan meminda peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum.
Selain itu, menarik minat dan kesedaran masyarakat dalam STEM melalui kempen dan kerjasama. STEM ialah akronim kepada Sains, Teknologi, Engineering (Kejuruteraan) dan Matematik. STEM dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sedia ada dalam semua mata pelajaran STEM. STEM dalam konteks p&p merangkumi tiga aspek, iaitu bidang pembelanjaran, pakej mata pelajaran dan pendekatan p&p. Terdapat beberapa konsep pembelajaran STEM iaitu lebih rasa minat dan seronok kerana STEM ini memudahkan cara pembelajaran untuk membantu pelajar untuk lebih memahami konsep serta aplikasi dalam subjek seperti Sains dan Matematik. Selain itu, Memperhebatkan usahausaha untuk merapatkan jurang perbezaan pencapaian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam peperiksaan utama di antara sekolah-sekolah bandar dan luar bandar.
Selanjutnya, memperoleh akreditasi antarabangsa dan memantapkan kurikulum program matrikulasi sebagai persediaan murid ke universiti. Dalam Gelombang 2, Kementerian akan meningkatkan standard program pascamenengah matrikulasi untuk meningkatkan tahap pengiktirafannya pada peringkat antarabangsa. Objektifnya adalah untuk memastikan kelayakan matrikulasi diterima oleh institusi awam dan swasta dalam dan luar negara. Bagi mencapai objektif ini, program matrikulasi perlu ditanda aras dengan pengiktirafan akreditasi antarabangsa seperti AS-Levels atau Scottish Highers.
Di samping itu, mengukuhkan program untuk kumpulan berkeperluan khusus seperti kumpulan peribumi, kumpulan minoriti lain, dan berkeperluan khas. Kementerian akan terus memastikan murid daripada golongan ini mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan yang relevan dengan keperluan mereka. Gelombang kedua pembaharuan ini akan bertumpuan kepada usaha meningkatkan hasil pembelajaran dan standard kurikulum bagi semua murid kumpulan pribumi dan minoriti lain menggunakan intervensi yang direka khas. Dengan menggunakan data yang diperoleh daripada proses pengurusan data yang dikemaskini, Kementerian akan memberikan sokongan kepada JPN dan PPD untuk merangka program intervensi khusus dan memberikan bantuan mengikut keperluan kumpulan pribumi dan minoriti lain. Semasa Gelombang ini, KPM akan meneroka kerjasama dengan organisasi lain seperti NGO, organisasi antarabangsa, sektor swasta, dan agensi kerajaan bagi meningkatkan lagi sokongan dan peluang kepada murid berkeperluan khas. Perkongsian ini boleh dijalankan dalam bentuk peruntukan daripada agensi, membangunkan bengkel dan program bersama untuk murid, dan mendapatkan sokongan profesional seperti dalam bidang audiologi dan terapi.
Seterusnya, meningkatkan kompetensi dan kemajuan berdasarkan prestasi serta memantapkan laluan kerjaya guru untuk mencergaskan semula profesion keguruan. Dalam Gelombang 2, Pakej Kerjaya Guru baharu akan dibina atas kejayaan Gelombang 1 yang memberi tumpuan kepada peningkatan standard dan kualiti program latihan praperkhidmatan perguruan, dan memastikan hanya graduan yang terbaik dipilih menyertai profesion keguruan. Pakej ini akan menyediakan pelaksanaan laluan kerjaya yang dimantapkan dengan tawaran pelbagai pengkhususan bergantung pada minat guru. Selain itu, kemajuan kerjaya yang lebih pantas disediakan untuk guru berprestasi tinggi, manakala guru yang tekal berprestasi rendah diberi pilihan bagi penempatan semula. Semua kerja awal bagi perubahan ini perlu bermula semasa pelaksanaan Gelombang 1 untuk membolehkan inisiatif yang dirancang dilaksanakan segera pada tahun 2016.
Selepas itu, mengukuhkan bahagian utama Kementerian KPM, menyusun semula peranan Kementerian, JPN dan PPD untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan pelaksanaan. Kementerian akan terus memberi kuasa kepada JPN dan PPD supaya menjadi organisasi yang lebih diperkemas selari dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Justeru, di peringkat Kementerian, susunan bahagian Kementerian juga perlu diperkemaskan di samping terus memberikan lebih kuasa untuk membuat keputusan dan kebertanggungjawaban kepada JPN dan PPD. Tujuannya adalah untuk menghasilkan suatu model yang menggambarkan fungsi dan hala tuju yang sama tetapi dengan peranan yang berbeza di pelbagai peringkat. Organisasi JPN dan PPD akan distruktur semula mengikut kluster tertentu. Penstrukturan semula ini membolehkan pengkhususan yang lebih dan memberi mandat yang jelas kepada pegawai.
Sementara itu, merintis pilihan program untuk meningkatkan pendedahan kepada bahasa Inggeris, dan mengukuhkan penyediaan bahasa tambahan dalam usaha menambah baik penguasaan kemahiran bahasa secara menyeluruh. Apabila sistem pendidikan kita berjaya memastikan tahap kemahiran bahasa Malaysia secara sejagat dan menyediakan pengajaran dan pembelajaran berkualiti tinggi dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, maka sistem pendidikan kita akan berada pada kedudukan yang optimum untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi penguasaan dwibahasa. Menjelang tahun 2020, pilihan untuk bahasa tambahan yang popular seperti bahasa Cina, bahasa Tamil, dan bahasa Arab akan dipeluas kepada lebih banyak sekolah. Usaha ini akan memerlukan latihan danpenempatan lebih banyak guru bahasa. Selain itu, pengajaran bahasa tambahan akan diintegrasikan dalam waktu pengajaran di sekolah menengah seperti KSSR. Sekolah yang lebih besar boleh mendapatkansumber luar untuk menawarkan pilihan bahasa sementara sekolah yang lebih kecil perlu meneroka peningkatan penggunaan teknologi untuk meningkatkan bilangan bahasa yang ditawarkan.
Lebih-lebih lagi, memacu inovasi ICT khususnya untuk pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran terarah kendiri. Kementerian akan memastikan murid-murid tidak hanya belajar menggunakan ICT tetapi juga boleh memanfaatkannya secara berkesan untuk meningkatkan pembelajaran mereka. Maka, Kementerian akan melaksanakannya dengan mengukuhkan asas ICT sekolah sambil memperkenalkan penyelesaian ICT yang terbukti baik ke dalam sistem Pendidikan. Kementerian akan mengkaji peluang-peluang baharu untuk transformasi pengggunaan ICT dalam bilik darjah, umpamanya melalui EduWeb TV selaras dengan pengukuhan asas ICT dalam sistem pendidikan Malaysia. Ini termasuk meningkatkan amalan terbaik dalam bidang kecemerlangan dan inovasi yang dikenal pasti dalam Gelombang 1. Kementerian juga akan mengemaskini strategi yang menggambarkan dapatan baru daripada kajian antarabangsa tentang cara memanfaatkan ICT dalam membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi.
Akhir seklai, memperluas pilihan pendidikan vokasional melalui perjanjian pelaksanaan dengan pembekal pendidikan vokasional swasta. Kerjaya ini mencakupi kemahiran teknikal dan vokasional, daripada pertukangan hinggalah kepada jawatan dalam bidang kejuruteraan dan pekerjaan lain. Berbeza dengan aliran teknikal yang menyediakan murid untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi, aliran vokasional lebih berorientasikan kerjaya. Dalam Gelombang 2, Kementerian akan meneruskan momentum usaha bagi melaksanakan program yang telah menunjukkan kejayaan dalam Gelombang 1 melalui peluasan laluan pendidikan vokasional dan pendidikan agama. Kementerian akan menambah baik laluan pendidikan teknikal supaya lebih menarik dan relevan dengan memperkemas penawaran mata pelajaran elektif teknikal kepada tiga bidang kritikal iaitu kejuruteraan dan sains gunaan, reka bentuk dan teknologi dan perniagaan dan perkhidmatan. Selain kesinambungan kerjasama dengan ACCA, pihak Kementerian akan turut memperkukuh kerjasama dengan badan profesional lain merentasi tiga bidang yang dinyatakan. Langkah ini menuntut keperluan menjadikan kurikulum elektif teknikal (termasuk infrastruktur sekolah), selari dengan keperluan badan profesional berkenaan.
No comments:
Post a Comment