Pendidikan ialah penyumbang utama pembangunan modal sosial dan ekonomi negara. Pendidikan juga merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja, dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya. Sehubungan dengan itu, Kerajaan perlu memastikan sistem pendidikan negara berfungsi secara berkesan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan yang menjadi asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan ekonomi global.
Kementerian Pendidikan Malaysia terus bertekad untuk meningkatkan pencapaian murid dengan menyediakan sistem pendidikan yang efisien. Peningkatan kualiti, ekuiti dan akses dalam pendidikan akan terus diperkukuh untuk memastikan kelangsungan kejayaan yang telah dicapai sejak negara mencapai kemerdekaan. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah menetapkan dengan jelas sasaran yang perlu dicapai dari segi kualiti, ekuiti dan akses dalam tempoh 13 tahun. Perancangan yang teliti dalam jangka masa ini perlu dilakukan melibatkan transformasi pengurusan sumber manusia dan kewangan serta penetapan inisiatif utama yang menjurus kepada keberhasilan murid. Keutamaan Kementerian adalah bagi memastikan wujudnya keselarian dasar pendidikan dan pelaksanaan. Kefahaman jelas dalam kalangan warga Kementerian dan para pendidik tentang pelan ini adalah amat perlu agar pelaksanaan program berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.
Antara cabaran yang perlu ditempoh untuk menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2010-2025) ialah cabaran akses. Ini kerana setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas iaitu Tingkatan 5 menjelang tahun 2020. Contohnya, 100% enrolmen merentas semua peringkat pendidikan. Seterusnya, cabaran yang perlu dihadapi ialah cabaran ekuiti iaitu setiap pendidikan berprestasi tinggi yang menyediakan pendidikan terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, jantina atau latar balakang sosioekonomi. Contohnya, merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara jantina 50% menjelang tahun 2020.
Selain itu, cabaran yang perlu dihadapi adalah cabaran kualiti iaitu semua kanakkanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan pendidikan negara maju. Sebagai contohnya, Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Trend In International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Program for International Student Assessment (PISA).
Selanjutnya, cabaran yang perlu dihadapi ialah cabaran perpaduan iaitu menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid-murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia. Contohnya, murid yang berusia antara 7 hingga 17 yang bersekolah di Malaysia menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah. Akhir sekali, cabaran yang dihadapi ialah cabaran kecekapan iaitu sistem pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun peningkatan keberhasilan murid masih tidak sepadan dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam sistem. Walaupun kerajaan akan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, kementerian berhasrat untuk memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.
Kesimpulannya, untuk memastikan keberkesanan dan kelestarian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, setiap pihak yang terlibat mesti memahami peranan penting yang mereka mainkan dan manfaat yang akan mereka nikmati. Program yang direncanakan dalam pelan ini dihasratkan membawa ke arah satu set manfaat, hak dan tanggungjawab secara kolektif bagi setiap kumpulan terutamanya murid, guru, pemimpin sekolah, pegawai kementerian dan ibubapa.
No comments:
Post a Comment